|
NISA' NEWS NETWORK
Laman Utama > Arkib
3N
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
NISA' KE MESIR JUMPA AHLI BARU
Isnin, 24 Oktober, 2005 @ 12:30:04 MYT
KAHERAH, 24 Okt (Hrkh) - Dalam usaha untuk menghubungkan generasi muda walau di mana mereka berada, NISA' Malaysia baru-baru ini telah menghantar Affaf Alwi, Ketua Perhubungan Awam beserta Asiah Ishak, Ketua Unit Kerjaya berkunjung ke Timur Tengah dalam misi lawatan dan penerangan mengenai Re-branding NISA'.
Setibanya wakil NISA' di lapangan terbang Kaherah jam 12:10 tengah malam (waktu tempatan) mereka disambut oleh sebilangan rakyat Malaysia yang berada di Mesir sebelum dibawa ke tempat penginapan.
Sejak hari pertama di Kaherah, mereka dibawa bertemu dan beramah mesra dengan pelbagai rakyat Malaysia di sana. Dalam sesi penerangan yang dibantu dengan persembahan multimedia.
NISA' Malaysia telah menjelaskan tentang misi, visi dan objektif NISA' dalam melaksanakan tugas dakwah khususnya dalam realiti masyarakat di Malaysia.
(Gambar kiri: Ketua Perhubungan Awam NISA Malaysia Cik Afaf Alwi sedang memberi penerangan mengunakan slide kepada para perserta di Mesir. Gambar kanan: Ketua Unit Kerjaya Cik Asiah Ishak memberi penjelasan bagaimana unit kerjaya dapat membantu generasi muda membina kerjaya mereka.)
NISA' yang meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamat utama, beriltizam untuk menyampaikan dakwah kepada anak-anak muda khususnya, dengan konsep menerang bukan menyerang. Sesuai dengan konsep tersebut, NISA' menekankan penampilan ahlinya yang mesra, ceria dan murah dengan senyuman.
Affaf telah mengingatkan kepada semua ahli-ahli baru NISA' untuk mengutip sebanyak mungkin mutiara ilmu sebelum mereka pulang ke tanahair.
"Marilah kita bersama-sama membantu para petugas NISA' untuk terjun ke tengah-tengah gelanggang masyarakat apabila kembali ke Malaysia nanti. Berbekalkan pengalaman hidup di Mesir yang kaya dengan khazanah ilmu yang mana disini lahirnya universiti yang tertua di dunia, seharusnya kita berusaha menganjurkan budaya yang baik yang boleh diceduk seperti budaya membaca al-Quran dan solat berjemaah yang menjadi amalan sebahagian besar umat Islam di sini," ujarnya.
Lawatan kerja selama sembilan hari itu telah berjaya menjelaskan halatuju dan konsep NISA' yang baru selepas pelancaran Re-branding hampir lima bulan yang lalu.
Lawatan julung kali ke Timur Tengah ini bukan sahaja berjaya menambahkan keahlian Nisa, tetapi yang lebih manis ialah NISA' Malaysia kini telah mula melebarkan sayapnya ke luar negara.
"Rata-rata ahli yang baru mendaftar begitu bersemangat dan tidak sabar untuk pulang bagi menyumbangkan tenaga bersama-sama dengan NISA' Malaysia" kata Asiah yang terharu dengan sambutan yang diberikan.
(Gambar: AJK NISA Malaysia Affaf dan Asiah bergambar kenangan berlatar belakang kan pyramid di Mesir.)
"Walaupun mereka sedar jalan dakwah ini tidak mungkin disambut dengan permaidani merah apatah lagi dibalas dengan wang ringgit, namun diatas kesedaran yang tinggi, mereka tekad menyatakan keazaman untuk turut sama berjuang bagi membantu memperbaiki keadaan masyarakat yang semakin alpa," sambungnya lagi.
-NISA'/zs
[ Arkib 3N ]
|